Pernah dulu,
Aku pandang langit—
Diludahnya aku.
Aku pandang tanah—
Disemburnya aku.
Dalam tujuh petala langit itu,
tiada satu yang bisa aku simpan mimpi
untuk aku rentasi.
Dan dalam jamaknya
kepulan awan-awan gebu
yang menempati laman langit itu,
tiada satu yang bisa
aku jejaki.
Maka dari setitik nukleus itu
aku terasa seperti
sekecil-kecil zarah
yang tidak berjisim—
Ringan dan terawang-awang dibawa angin lalu.
Maka jauh tersasar aku dari titik nukleus
yang menjadi
paksi memasakkan tiang seri
yang sudah aku jampi dengan mantera baris Laksmana.
Aku pernah jadi manusia kecundang.
Melutut menyembah Maha-Rasa-Yang-Hanya-Aku-Tahu-Apa.
Benak hati bagai dilayur api gelisah
yang meliang-liuk
ditiup petaka.
Lalu aku bertanya,
“Kenapa mesti jiwa merdeka seperti
kita
harus diperhambakan kepada rasa-rasa celaka?”
Kemudian aku tersedar—
Aku ini manusia bertopengkan Rahwana.
Penuh haloba dan bertuhankan amarah dan gelora jiwa.
Lalu aku pasang mimpi—
Aku damba metamorfosis.
Metamorfosis jiwa, minda dan persona.
Orang kata mimpi Mat Jenin takkan bawa kau kemana.
Tapi, aku rasa—
Kalau tidak bermimpi--
manakan bisa aku hambat daya
upaya.
Kalau tidak bermimpi--
manakan bisa aku hidu harum keringat
lelah
dan rasa manis keringat sengsara.
Lantas aku cuba untuk teruskan kesinambungan hidup
yang Tuhan kurnia.
Aku pasti Tuhan tidak berjenaka
saat dia tiupkan roh
ke dalam jasad kita.
Aku pasti dia punya rencana.
Bukan seperti bermain catur di kedai kopi sahaja.
Ada sebab mengapa Tuhan bagi kita rasa.
Dan aku--
masih cuba menghargai setiap cebis rasa yang
Dia kirimkan.
Aku cuba hidup dalam setiap rasa yang dia titipkan.
Biar sakit luka bernanah,
aku cuba nikmati sakit pedih
itu.
Aku cuba tahan dengan busuk luka itu.
Kerana aku percaya yang masih ada penawar bagi setiap
luka.
Cuma ianya tertakluk pada masa dan tegarnya kita.
Biar masa jadi penentu dan kita--
harus terbang
mengikut susur arusnya.
Hidup mesti diteruskan juga.
Nyawa mesti dipelihara.
Solusinya harus kita rangka.
Tuhan takkan selamanya biar kau berteman nanah dan
berengga.
Itu janji dia—
Asal kau tahu makna meminta dan percaya.
Dan aku belajar, itu janji Tuhan.
DIa takkan pernah gagal untuk tunaikan janji-janji
Dia.
Itu, kita kena percaya.
Percaturan hidup kita biar Tuhan yang kerjakan.
Kau, Aku, Kita—
Jangan putus harapan.
Dan harus saling mengingatkan.
Kerana hati yang penuh pengharapan itu--
adalah hati yang
sentiasa hidup dalam magis kuasa Tuhan.