Tuesday, March 18, 2014

Monolog: Introspeksi

Pernah dulu,
Aku pandang langit—
Diludahnya aku.
Aku pandang tanah—
Disemburnya aku.
Dalam tujuh petala langit  itu, 
tiada satu yang bisa aku simpan mimpi untuk aku rentasi.
Dan dalam jamaknya kepulan awan-awan gebu 
yang menempati laman langit itu, 
tiada satu yang bisa aku jejaki.
Maka dari setitik nukleus itu 
aku terasa seperti sekecil-kecil zarah 
yang tidak berjisim—
Ringan dan terawang-awang dibawa angin lalu.
Maka jauh tersasar aku dari titik nukleus 
yang menjadi paksi memasakkan tiang seri 
yang sudah aku jampi dengan mantera baris Laksmana.
Aku pernah jadi manusia kecundang.
Melutut menyembah Maha-Rasa-Yang-Hanya-Aku-Tahu-Apa.
Benak hati bagai dilayur api gelisah 
yang meliang-liuk ditiup petaka.
Lalu aku bertanya, 
“Kenapa mesti jiwa merdeka seperti kita 
harus diperhambakan kepada rasa-rasa celaka?”
Kemudian aku tersedar—
Aku ini manusia bertopengkan Rahwana.
Penuh haloba dan bertuhankan amarah dan gelora jiwa.
Lalu aku pasang mimpi—
Aku damba metamorfosis.
Metamorfosis jiwa, minda dan persona.
Orang kata mimpi Mat Jenin takkan bawa kau kemana.
Tapi, aku rasa—
Kalau tidak bermimpi--
manakan bisa aku hambat daya upaya.
Kalau tidak bermimpi--
manakan bisa aku hidu harum keringat lelah 
dan rasa manis keringat sengsara.
Lantas aku cuba untuk teruskan kesinambungan hidup 
yang Tuhan kurnia.
Aku pasti Tuhan tidak berjenaka 
saat dia tiupkan roh ke dalam jasad kita.
Aku pasti dia punya rencana.
Bukan seperti bermain catur di kedai kopi sahaja.
Ada sebab mengapa Tuhan bagi kita rasa.
Dan aku--
masih cuba menghargai setiap cebis rasa yang Dia kirimkan.
Aku cuba hidup dalam setiap rasa yang dia titipkan.
Biar sakit luka bernanah, 
aku cuba nikmati sakit pedih itu.
Aku cuba tahan dengan busuk luka itu.
Kerana aku percaya yang masih ada penawar bagi setiap luka.
Cuma ianya tertakluk pada masa dan tegarnya kita.
Biar masa jadi penentu dan kita-- 
harus terbang mengikut susur arusnya.
Hidup mesti diteruskan juga.
Nyawa mesti dipelihara.
Solusinya harus kita rangka.
Tuhan takkan selamanya biar kau berteman nanah dan berengga.
Itu janji dia—
Asal kau tahu makna meminta dan percaya.
Dan aku belajar, itu janji Tuhan.
DIa takkan pernah gagal untuk tunaikan janji-janji Dia.
Itu, kita kena percaya.
Percaturan hidup kita biar Tuhan yang kerjakan.
Kau, Aku, Kita—
Jangan putus harapan.
Dan harus saling mengingatkan.
Kerana hati yang penuh pengharapan itu--
adalah hati yang sentiasa hidup dalam magis kuasa Tuhan.

No comments:

Post a Comment